NIAT hati seorang gadis hendak melawat kekasih kacak dan bertentang mata buat kali pertama bertukar menjadi pengalaman pahit apabila..

NIAT hati seorang gadis hendak melawat kekasih kacak dan bertentang mata buat kali pertama bertukar menjadi pengalaman pahit apabila mendapati rupa paras lelaki berkenaan tidak sekacak dipaparkan di Facebook selama ini.
Rasa tertipu setelah bercinta di alam maya selama setahun membuatkan Anah Syakila yang berasal dari Lebak di Banten, Indonesia membuat laporan polis.

Menurut Syakila, dia berkenalan dengan seorang lelaki kacak menggunakan nama Rian berasal dari Tulungagung di Facebook.

“Kali pertama melihat gambar Rian, saya terus jatuh cinta kerana dia tampan. Rian juga sering memuat naik gambarnya di Facebook menyebabkan saya yakin dia adalah individu sebenar,” katanya, memetik laporan Bangka Pos.

Jurucakap polis Dani Aristanto berkata, siasatan mendapati Facebook Rian adalah palsu dan nama sebenar lelaki yang menyamar adalah Sugeng.

“Selepas disoal siasat Sugeng mengaku menggunakan foto lelaki lain untuk berkenalan dengan Syakila. Selepas berbincang Sugeng juga setuju membayar semua kos pengangkutan dan penginapan Syakila di sini,” jelasnya.

Menurut Syakila, sepanjang perkenalan mereka Rian sering memintanya datang ke Tulungagung tetapi dia menolak kerana mahu lelaki itu sendiri datang ke Banten.
Wajah sebenar teman lelaki Anah Syakila, Sugeng.
Bagaimanapun baru-baru ini apabila Rian memberitahu dia sakit, Syakila mengambil keputusan untuk datang ke Tulungagung.

Jarak dari Banten ke Tulungagung kira-kira 860 kilometer dan perjalanan menaiki kereta mengambil masa selama 17 jam.

Namun apabila sampai di Tulungagung, Syakila terkejut dan kecewa apabila mendapati lelaki yang datang bertemunya memiliki wajah yang jauh berbeza daripada Rian di Facebook.

Antara cara paling berkesan nak kenalpasti wajah sebenar seseorang adalah gunakan panggilan video, kenapa agaknya Syakila tak guna teknik itu sebelum mula jatuh cinta ya?